08 August 2012

FB <=> illuminati


Kesimpulannya, jangan lalai untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Cari manfaat dari agenda yang dibawa. Semoga kita tak tergolong dalam golongan yang rugi.

02 August 2012

Tsunami itu...



Ahad lalu seperti biasa saya akan bersama anak-anak Akademi Fakih Intelek yang luarbiasa semangatnya. Di sini saya tak bercadang bercerita tentang anak-anak cute itu, tetapi sekadar ingin berkongsi cerita daripada seorang sahabat berasal dari Acheh. Dia juga merupakan salah seorang daripada trainers FAKIH.

Masyitah, sahabat saya. Masa senggang hari itu kami berborak-borak. Bercerita tentang kampung halaman dan perihal keluarga masing-masing.

Naik bulu roma saya apabila diceritakan tragedi tsunami 2004 yang lalu. Ketika itu saya berada di tingkatan 3. Masyitah pula bersekolah di sebuah sekolah Ma'had di Acheh, suatu kawasan yang sangat jauh dari Bandar Acheh.

Pada hari kejadian, gemparan yang dirasakan tidak pernah berlaku sebelum itu mengejutkan warga sekolah. Huru-hara. Masing-masing keluar dari bangunan sekolah. Ada yang menangis ketakutan. Duduk di atas tanah yang sedang bergegar. Sambil menangis, sambil melihat tanah. Takut-takut mereka ditelan tanah.

Lain pula nasibnya dengan penduduk Bandar Acheh. Boleh dikatakan hampir keseluruhannya habis dibawa arus ombak besar.

"Air..Air.."

Masing-masing menyelamatkan diri. Ada yang mencari dataran tinggi.  Maka selamat nyawanya. Ada yang sedang menunggang motorsikal yang ibunya membonceng di belakang. Dek terlalu takut, dibawanya laju-laju motor itu. Tak sedar ibu di belakang sudah tiada. Entah bila jatuhnya. Seperti kiamat. Lupa akan anak yang dikandung, lupa akan suami, lupa akan isteri, lupa akan ibu.

Ada ibu yang bersalin, sedar-sedar dia di atas bumbung rumah. Anak yang baru dilahirkan ada bersama suami di atas bumbung rumah bersebelahan. Entah bagaimana boleh berada di atas bumbung.

Ada penduduk Bandar Acheh menziarahi saudara di hujung perkampungan Acheh, yang di perkampungan ke Bandar menziarahi saudara di hospital. Seperti menempa maut kata Masyitah.

Hanya kerana jari kelingking, seorang sahabat sepengajian Masyitah ketika di Mesir berjaya diselamatkan dari terkorban ketika musibah itu.Diceritakan, lumpur penuh menyelaputi badan. Tak terdaya lagi ketika itu, hanya jari kelingking yang mampu diangkat ketika sahabat itu di dalam timbunan lumpur.

"Ada yang masih hidup...Ada yang masih hidup..."

Alhamdulillah selamat nyawanya.

Ya Allah, betapa luluh hati saya mendengar cerita yang terasa seperti di depan mata ia terjadi. Kata Masyitah, ada pelajar yang hampir seminggu tak mengetahui, rupa-rupanya dia sudah keseorangan di dunia. Keluarga semua terkorban. Allahuakbar.

Di akhir sembang-sembang petang itu, Masyitah berkata,

"Berbagai-bagai cara Allah selamatkan manusia.Terkadang tak logik dek akal."

Dan berbagai-bagai cara juga Allah persiapkan untuk seseorang itu. Apabila sudah sampai ajalnya, maka dengan apa cara sekalipun, dia akan mati juga.

Semoga kita beroleh iktibar dengan apa yang dah terjadi. Moga-moga di sisi Allah, kita adalah hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Amin..