Lama tidak menulis, terkadang kekok untuk memulakan. Hati rasa tergerak untuk menulis, bila ada rasa susuatu yang hendak diluahkan tetapi tak mampu untuk diperkatakan melalui lisan. Pernah atau tidak kita lihat, bagaimana pakar psychology merawat pesakit yang menghidapi masalah jiwa. Doktor akan berikan pesakit satu buku atau kertas kosong untuk mereka menulis, melukis, menconteng. Dari situlah doktor akan membaca fikiran pesakit.
Lumrahnya manusia, akan ada cerita hati masing-masing. Tidak semua akan berkongsi, malah merahsiakan daripada semua orang. Bahayanya situasi ini bila cerita hati itu pedih, tidak sama cerita hati yang indah. Cerita hati, bila kecil pedihnya, lama kelamaan akan jadi bisa pada tuan empunya diri. Maka, jika sukar untuk disuarakan melalui lisan, tumpahkan ia di atas kertas. Mudah-mudahan hati akan rasa lebih tenang melalui cara ini dengan syaratnya!! sesudah mengadu kepada Pencipta.
Suka untuk saya berkongsi satu kata-kata yang gemar untuk saya berikan kepada adik-adik serta sahabat terdekat; ketepikanlah HAK, laksanakanlah TANGGUNGJAWAB, maka kita akan rasa lebih tenang. Kata-kata itu bukan bermaksud saya menolak HAK saya secara keseluruhan, ada masa dan ketikanya HAK itu perlu diutamakan untuk perkara yang tertentu. HAK apa? HAK untuk menjaga MARUAH DIRI.
Islam telah menggariskan panduan untuk menjaga maruah terutama dalam cara berpakaian, percakapan dan pergaulan. Di sini, ingin saya sentuh bab percakapan dan pergaulan.
Percakapan bagaimanakah yang menggambarkan akhlak seorang Muslim?
1- Bercakap perkataan yang baik. Lebih baik diam dari berkata sesuatu yang tidak sesuai.
2- Berlemah-lembut dan bersopan dalam berinteraksi.
3- Percakapan yang menyenangkan.
4- Bercakap tentang perkara yang mendatangkan faedah diri, masyarakat dan negara.
5- Bercakap benar.
dan Pergaulan yang bagaimanakah menggambarkan akhlak seorang Muslim?
1- Memberi salam dan berjabat tangan ketika bertemu dengan saudara Islam (dalam batasan syarak)
2- Menjaga tatasusila.
3- Hormat-menghormati, berkasih-sayang dan beramah mesra sesama manusia.
4- Bertukar-tukar pendapat dan pandangan.
5- Menjaga rahsia dan keaiban orang lain.
6- Menepati janji.
7- Menjaga hati sahabat dalam perkara kebaikan.
Apa akibat tidak menjaga diri dan maruah?
1- Kehidupan tidak diberkati.
2- Mendapat dosa.
3- Dipulau oleh rakan dan masyarakat.
4- Mendorong berlakunya jenayah (rogol dan sumbang mahram)
5- Masyarakat kucar-kacir dan negara tidak aman.
6- Masyarakat memandang rendah dan menghina orang yang tidak bermoral.
Sedar atau tidak, ini sukatan Pendidikan Islam Tingkatan Dua "Adab Menjaga Maruah Diri". Terima kasih kepada hati yang mendorong menyentuh soal MARUAH DIRI. Apa yang kita tulis kadang-kala menasihat kembali kepada diri sendiri, terbatal niat untuk bercerita hal sebenar. =)
Cerita hati mudah dilakar tetapi sukar dipadam. Bahagialah seseorang itu, jika cerita hatinya yang indah-indah dan manis belaka kerana yang pedih sudah terpadam. Bagaimana untuk ia terpadam bergantung pula kepada secebis rasa untuk memaafkan dan melupakannya.
Wallahu'alam...
No comments:
Post a Comment