23 November 2010

Dalam Hati, Allah Sahaja yang Tahu


Kesibukan yang dibuat-buat terkadang membuat 'Eisyateer Radhiyah lupa akannya. Sememangnya itu yang dikehendaki. Hati mana yang tidak gundah tatkala asyik teringat akan orang yang disayangi. Dia pasti, setiap kali terimbas seraut wajah difikirannya itu pasti syaitan-syaitan yang sedaya-upaya memanah pada hatinya yang mula tersemai kasih seorang insan.

Tetapi, apakan daya, semakin cuba untuk menjauhi, semakin kuat rindu menyelubungi. Hanya iman baginya benteng untuk menangkis segala rasa cinta akan seorang insan bergelar hamba. Ya, bergelar hamba seperti dirinya.

"Pantaskah aku mencintai dia melebihi cinta aku kepada Penciptaku. Jika bukan kerana Penciptaku menghadirkan dia di dunia ini, masakan aku dapat mengecap kasih seorang kekasih... Ya, Allah.. Sesungguhnya rasa kasih yang hadir itu adalah kasih dariMu. Ampunkan aku kerana melebihi cinta kepada hambaMu. Terimalah cintaku moga aku tidak terus tersungkur menagih cinta yang tak pasti bagaimana akhirnya...Amin..."

Berjujuran air mata membasahi telekung putih bersulamkan bunga emas. Tidak tertanggung rasa hiba dan rasa bersalah yang berkunjung di benak hatinya. Dia tersungkur ke hamparan sejadah.

"Allahuakbar....Allahuakbar...."

Azan Subuh berkumandang. Tidak sedar fajar mula menampakkan jalurnya. 'Eisyateer terpisat-pisat bangun. Mengaduh kesakitan akibat tidur dalam keadaan posisi yang tidak betul. Terasa mata sedikit bengkak. Meluru ke bilik air mengambil wudhuk.

Usai dua rakaat solat Subuh tanpa membaca doa Qunut.

"Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau. Engkau yang menciptakan dan aku 'abdiMu, dan aku berada dalam perjanjianMu, ikrar kepadaMu, (yang akan kulakukan dengan) segala kemampuanku. Aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku.Ya Allah, andai aku mengulangi kesilapanku, ampunkan daku. Lindungi aku daripada segala bisikan syaitan, panahan syaitan, hawa nafsu dan dari segala perkara yang melalaikan aku dari mengingatiMu.Tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau. Amin..."

No comments: