Termenung aku bersama laptop yang masih on. Seakan aku merenung laptop dan laptop turut merenung aku. Mujur juga laptop tak punya hati. Fikiran aku melayang, melewati kisah-kisah sewaktu aku kecil-kecil dahulu. Satu persatu lembaran kisah silam hidupku tersingkap. Mungkin akan ada yang tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba teringat akan kisah waktu kecil? Lihat sahajalah remaja sekarang, kebanyakannya sudah hilang rasa malu, maruah diri diibaratkan seperti wang ringgit, boleh dilaburkan dan dipertaruhkan. Tetapi masih tidak terlambat lagi untuk berubah dan mengubah kerana setiap perubahan itu hanya akan berlaku dengan adanya tangan-tangan, mata-mata, hati-hati dan tindakan-tindakan yang menjadi alat untuk merealisasikan perubahan.
Dan mengapa pula mengaitkan remaja zaman sekarang dengan sejarah kisah silam? Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa yang sangat sinonim di kalangan masyarakat kita. Tetapi sejauh mana mereka ini menghayati peribahasa tersebut?

