Termenung aku bersama laptop yang masih on. Seakan aku merenung laptop dan laptop turut merenung aku. Mujur juga laptop tak punya hati. Fikiran aku melayang, melewati kisah-kisah sewaktu aku kecil-kecil dahulu. Satu persatu lembaran kisah silam hidupku tersingkap. Mungkin akan ada yang tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba teringat akan kisah waktu kecil? Lihat sahajalah remaja sekarang, kebanyakannya sudah hilang rasa malu, maruah diri diibaratkan seperti wang ringgit, boleh dilaburkan dan dipertaruhkan. Tetapi masih tidak terlambat lagi untuk berubah dan mengubah kerana setiap perubahan itu hanya akan berlaku dengan adanya tangan-tangan, mata-mata, hati-hati dan tindakan-tindakan yang menjadi alat untuk merealisasikan perubahan.
Dan mengapa pula mengaitkan remaja zaman sekarang dengan sejarah kisah silam? Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa yang sangat sinonim di kalangan masyarakat kita. Tetapi sejauh mana mereka ini menghayati peribahasa tersebut?
Masih segar lagi di ingatan, bagaimana ayah dan ibu aku mendidik aku. Dan mungkin kerana aku anak sulong, perhatian yang lebih diberikan supaya di masa akan datang aku pula yang akan menjadi pendidik kepada adik-adikku pula.
Teringat lagi sewaktu aku diajar oleh ibu cara-cara bacaan dalam solat. Sepatah demi sepatah dilafazkan dan aku hanya menutur sepertimana cara ibuku menyebut bacaan tersebut. Ibu sepertinya tidak kenal erti jemu. Rotan pun tiada di sisi jika nak dibandingkan ustaz-ustaz yang ajar mengaji Al-Quran suatu ketika dahulu. Rotan seboleh-bolehnya panjang hingga mencapai 1 meter, MasyaAllah. Ayah pula sangat prihatin sehingga meletakkan radio di sebelah, memasukkan kaset kosong, dan merakam segala bacaan yang ibu tuturkan supaya mudah untukku mendengar berkali-kali suara ibu. Alhamdulillah, aku akhirnya dengan mudah mendirikan solat seawal usia 6 tahun ketika itu. Tetapi hari ini kita lihat, kanak-kanak semakin hebat, dengan begitu mudah menghafaz Quran. Apa yang penting, ibu dan bapa jugalah yang mencorakkan bagaimana anak-anaknya.
Kasih ayah pada rotannya, pada tali pinggangnya. Aku ingat lagi, waktu itu umurku sudahpun meningkat ke usia 10 tahun. Tiba jam 7 malam, menghadap Doraemon, menghadap Power Rangers, menghadap segala kartun yang waktu tu jugak media siaran televisyen sibuk nak lalaikan kanak-kanak. Sehingga hari ini, tradisi masih dikekalkan. Bertempiaran kami adik-beradik dikejar ayah dengan tali pinggangnya. Taubat Nasuha, selepas itu kami memang on time solat bila masuk waktunya.
Masih lagi teringat, bilamana ayah membeli satu album gambar, merakamkan segala perilaku anak-anaknya. Segala pahit manis kisah hidup anak-anaknya ditaip rapi pada komputer peribadi dan diabadikan di dalam album. Ayah pernah berpesan, "Nanti bila semua dah tua, buka balik album ni, tengok... Apa yang dah kamu semua buat sepanjang hidup ni." Masa itu aku pun masih kecil, perasaan hiba tidak pernah menerpa, apabila besar baru terasa.
Teringat lagi aku, sewaktu kecil dilatih membuat kerja-kerja rumah. Habis setiap pelosok rumah aku mop. Menyelit belakang almari, menyusup bawah katil. Terasa hebat pulak waktu kecil dulu. Kini dah besar, tak cerluih(kata orang Kedah) pulak nak masuk bawah katil. Kata mudahnya, ibu banyak mengajar aku berdikari sejak kecil. Sampaikan aku pernah pandai-pandai masak nasi, beras aku sukat sama tinggi dengan rice cooker, air pun sama banyak. habis dapur aku kerjakan. Menangis tak berlagu aku waktu tu. Ibu balik dengan tersenyum bila tengok keadaan dapur sambil mengusap kepala aku. Mujur tak kena marah. Aku tahu ibu sebenarnya nak marah, tetapi melihat kepada kesungguhan anaknya itu, mungkin dikawal perasaannya.
Terkenang ayah sewaktu mengajarku Matematik seawal usia 6 tahun. Rotan mesti di sisi, lain pula caranya dengan ibuku. Jenuh belajar Matematik depan papan putih. Tiba di tadika, silibus langsung tak serupa seperti apa yang ayah ajar. Rupa-rupanya ayah aku terlalu advance. Mengajar silibus darjah satu dan dua. Rumah pun dah jadi tadika. Tampal ABC, cara-cara solat dan bermacam-macam lagi.
Begitulah ragamnya sewaktu aku kecil, dan banyak lagi kisah yang tak tercerita di sini. Besar sungguh pengorbanan ayah dan ibu kepada kita. Sungguh tidak berbaloi dibalas dengan sesuatu yang menyakiti hati mereka. Segala bentuk didikan atau tarbiyah sebenarnya mencorak keperibadian seseorang individu itu sendiri. Sebagai anak sulong, aku merasa satu kewajiban yang sangat pasti menjaga adik-adik aku yang turut membesar seperti aku.
Tidak menjadi perkara yang menghairankan sekiranya kita berhadapan dengan permasalahan-permasalahan yang mungkin datangnya dari keluarga sendiri. Pelbagai faktor persekitaran yang menyumbang kepada permasalahan remaja hari ini. Ibu dan ayah mungkin sudah tidak terdaya seperti mereka muda dahulu, masih kuat dan sabar melayani karenah anak-anak. Nah, kita sudah pun besar, maka besar juga tanggungjawab terhadap adik-beradik yang lain. Biarpun kamu anak sulong atau anak bongsu, tanggungjawab masih sama, kelangsungan tarbiyah mesti diteruskan. Apa yang penting, kita tidak akan bersendiri selagi mempunyai teman-teman yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman.
(^_^)
No comments:
Post a Comment