Alhamdulillah, satu malam+pagi ini sempat saya habiskan pembacaan yang berbaki lagi 3/4 muka surat tulisan HAMKA, seorang tokoh pendakwah yang amat disegani. Penuh dengan ketelitian sewaktu membaca. Walaupun gaya bahasa yang diguna agak sukar difahami, tetapi jalan cerita yang sangat menarik mendorong saya untuk meneruskan pembacaan. Berkobar-kobar semangat saya untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang nilai dan pengajaran yang terkandung dalam sebuah buku yang memuatkan 286 mukasurat.Mungkin ulasan yang akan saya buat mempamerkan susunan bahasa yang tunggang langgang, almaklumlah, bukan kelebihan saya di sini untuk melakar bahasa-bahasa yang indah seperti artikel-artikel yang terpapar di mana-mana blog tulisan sahabat-sahabat lain, walaubagaimanapun tetap juga saya ingin kongsikan. Dan demi menghormati permintaan seorang sahabat untuk berkongsi kisah 'Tenggelamnya KAPAL Van Der Wijck'.
Sebelum masuk kepada bahagian nilai-nilai dan pengajaran yang diselitkan dalam karya ini, suka untuk saya menceritakan jalan cerita 'Tenggelamnya KAPAL Van Der Wijck'. Karya mengisahkan seorang pemuda yang bernama Zainuddin. Hidupnya tidak sudah-sudah dirundung nasib malang. Sedari kecil hingga zaman dewasanya. Malang yang menimpa diri Zainuddin bermula dengan kematian ibunya sewaktu dia tidak mengenali erti suka dan duka orang sekeliling(masih bayi), seterusnya kematian ayah di zaman kanak-kanaknya, dipulaukan orang kampung akibat tidak jelas asal keturunannya(ibu dan ayah berlainan suku) mengakibatkan Zainuddin(sebagai anak) tidak diiktiraf sebagai anak tanah kelahiran(Mengkasar), lebih menyedihkan kisah percintaannya dengan seorang gadis bernama Hayati(gadis yang penuh dengan akhlak yang terpuji, menjadi pujaan bagi setiap pemuda di kampungnya, Batipuh). Mengapa 'Tenggelamnya KAPAL Van Der Wijck' menjadi pilihan pengarang sebagai tajuk buku? Kapal Van Der Wijck merupakan kapal yang dinaiki Hayati sewaktu kepulangannya ke Batipuh(tempat asal dia dibesarkan). Kapal yang memuatkan ratusan orang tenggelam sewaktu pelayaran.
Hampir 3/4 dari kandungan buku menceritakan kisah cinta dua jiwa. Perkenalan Zainuddin dan Hayati sewaktu penghijrahan Zainuddin ke kampung Batipuh demi menunaikan cita-citanya sedari kecil. Tempat pertama yang menjadi destinasi penghijrahan, tidak lain tidak bukan adalah tanah kelahiran ayahnya, di sebabkan itu digagahkan kaki dan hati untuk kenegeri tempat ayahnya dibesarkan walaupun terpaksa meninggalkan ibu angkatnya di Mengkasar. Percintaan antara dua jiwa muda mendapat tentangan suku kaum Minangkabau di situ. Terlalu kuat pegangan pada adat sehinggakan baik budi, sopan Zainuddin tidak lagi menjadi kayu ukur untuk dipadankan dengan Hayati. Zainuddin diusir dari Batipuh. Lebih parah, setelah mengikat janji setia kepada Zainuddin untuk menunggu walau satu, dua, atau berapa tahun lamanya, hatinya tetap cinta akan Zainuddin akhirnya kata-kata yang termateri ibarat debu yang berterbangan, bagai angin lalu yang membisik pada telinga(mengayat pulak dah saya...hihi). Dek terpengaruh dengan hasutan sahabat karibnya, Khadijah, Hayati memilih untuk berkahwin dengan seorang pemuda yang serba lengkap keperluan untuk hidupnya. Bahasa mudah, mengecap segala kemewahan dunia. Meruntunlah hati Zainuddin mengenangkan nasibnya yang diperlakukan begitu oleh Hayati sehingga jatuh sakit, hampir membunuh diri. Kekuatan datang dengan kehadiran sahabat bernama Muluk, segalanya berubah. Zainuddin memperoleh kekuatan untuk menjadi penulis sehingga masyhur namanya di serata Indonesia. Berbalik kepada penghidupan Hayati, rumahtangganya.. MasyaAllah, tidak kekal lama sehingga jatuh papa. Kedua-dua suami dan isteri mahu tidak mahu, meminta nasib dibela. Siapa lagi kalau bukan Zainuddin sebagai pembantu. Kesudahannya, dek rasa bersalah si suami, meninggalkan isterinya buat Zainuddin. Dicerai talak satu. Zainuddin yang nekad untuk bersahabat tetap dengan pendirian, tidak akan meraih cintanya semula dari gadis yang dicintainya suatu ketika dahulu. Hayati disuruh pulang ke kampung halaman dengan KAPAL Van Der Wijck. Hati tak dapat untuk menipu, rasa cinta buat Hayati masih ada di hatinya. Ajal maut kuasa Allah, Hayati meninggal kerana kemalangan tersebut dan Zainuddin meninggal kerana kesengsaraan menanggung cinta yang tak kesampaian. Seandainya benarlah kisah ini, semoga mereka bertemu cinta di syurga nanti.
Okay, tiba-tiba rasa penat pulak berbahasa seperti orang sastera. Masuk kepada bab nilai dan pengajaran. yang pertama, sikap kesukuan dan terlalu berpegang kepada adat seperti dalam cerita ni, adat Minangkabau, sangat keterlaluanlah, sampaikan sanggup mengusir saudara seIslam sendiri. Alhamdulillah, rasanya tak wujud lagi sikap mengutamakan adat dalam bangsa kita hari ini, cuma mungkin ada, tetapi amat sedikit pengamalannya. Kebanyakan adat yang masih dikekalkan adalah seperti majlis persandingan, adat yang lain kebanyakannya lebih banyak mengambil unsur-unsur yang diajar sendiri dalam Islam seperti adat ziarah-menziarahi, menghormati orang yang lebih tua dan sebagainya. Tak dapat untuk digambarkan, mungkin jika hari ini semangat kesukuan/'asobiyyah masih wujud dalam diri masyarakat kita, tidak hairanlah jika permasalahan bangsa tak habis-habis dibicarakan dan akhirnya mudah untuk musuh dari luar mengambil kesempatan yang ada.
Yang kedua, hindarilah menaburi janji yang tak pasti akan terlaksana. Seperti yang kita lihat dalam cerita ini, bagaimana si gadis mempasakkan janji-janjinya buat seorang lelaki yang juga empunya hati dan perasaan. Terpukul saya dengan bait kata-kata penulis. Wanita ini, cintanya hanya untuk dimegah-megahkan. Dimegahkan siapa tunangnya, berapa hantarannya. Dan sehingga sampai waktu hilang sinaran yang menjadi kemegahan itu, mulalah tersirna kekuatan dalaman. Menjadi 'down' tak tentu pasal(senang sikit nak faham). Na'uzubillah, semoga kita yang golongan isteri@bakal menjadi isteri tidak tergolong dalam kategori seperti yang saya sebutkan tadi. Cinta lelaki, apabila sudah dikecap, wanita yang berjanji kepadanya, hanyalah miliknya. Tidak sesekali diredhanya untuk dikongsi dengan orang lain. Kecantikan, kelembutan dalam bicara, segala untuknya. Terdetik di hati saya untuk menilai kata-kata penulis di bahagian ini, kalau begitu, salahlah tanggapan saya selama ini, dan mungkin sahabat-sahabat hawa di luar sana, jika sebelum ini, kita asyik beranggapan wanita adalah setia sifatnya kontra pula dengan kaum adam. Sebenarnya belum habis hujahnya di situ. Wanita cepat lupa pada kenangannya yang pahit kontra dengan lelaki. Di sebabkan itu perlunya kesedaran, jangan diajak bercinta yang tak pasti akhirnya di platform apa menjadi destinasi. Jika sudah confirm, mampu untuk berkahwin, barulah berbuat keputusan. Jangan berjanji yang akhirnya melukakan hati dia. Ungkapkanlah, "InsyaAllah..."
Yang ketiga, tidak mudah berputus asa terhadap sesuatu perkara buruk yang menimpa diri. Pada mulanya, kelihatan Zainuddin sudah hilang arah hidupnya. Bagai tiada matlamat setelah menerima berita perkahwinan gadis yang dipujanya. Dan akhirnya dia bangkit membina kekuatan dalam diri, mengubah nasib yang senantiasa malang. Realiti hari ini? apa yang masyarakat perbuat? tak habis-habis dengan masalah hati, putus cinta? jawapannya: membunuh, jika tidak bunuh pasangan yang pernah berjanji sehidup semati, dibunuh pula diri sendiri. Macam-macam cara ada. Alangkah baiknya kita sebagai hambaNya, tidak pernah berputus asa terhadap ujian yang menimpa. Biasalah, mesin apa yang tak perlu diuji oleh tester? inikan iman kita..Sampai ke satu maqam, ke maqam yang lain, lain pula lah ujiannya. Bersabar adalah penyelesaian yang baik. Sentiasa menjadi yang lebih baik. Tidak dinamakan berakal lah kita kalau statik di lembah nasib yang serupa. Berusaha dan berusahalah. Doa dan tawakkal tidak terkecuali.
Mmmm, mungkin cukup buat masa ni. Bacalah 'Tenggelamnya KAPAL Van Der Wijck'..merasai sendiri apa yang nak disampaikan penulis. Maaf lah ye, segala kekurangan adalah dari kelemahan diri saya sendiri, dan yang baik itu datangnya dari Allah. Semoga beroleh sesuatu buat pedoman.
Wallahu'alam.. =)
No comments:
Post a Comment